Foto fail
Foto fail
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kesedaran tinggi ibu bapa serta pihak pengurusan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) terhadap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kes di Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kes jangkitan HFMD di Terengganu pada Minggu Epidemiologi (ME) 23 dan 24 menunjukkan penurunan sebanyak 24 peratus.

Menurutnya, kes jangkitan HFMD di Terengganu menunjukkan peningkatan sejak Mac lalu menyebabkan pihaknya giat melakukan pemantauan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pihak pengurusan taska atau tadika.

"(Apabila berlaku peningkatan kes), kita buat 'town hall' ke semua daerah dan buat pemeriksaan ke semua taska dan tadika bagi memberi kesedaran serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil semasa berada di taska atau tadika.

"Bagaimanapun, kes jangkitan mula menunjukkan penurunan sejak minggu lalu dan kalau kita lihat, ia mula menunjukkan penurunan daripada ME 23 dan 24 peratus.

"Kita melihat kesedaran semakin meningkat, kalau kita pergi berbincang dengan pemilik-pemilik taska mereka memang sangat peka dan memperkukuhkan kawalan masuk anak-anak ke taska bagi memastikan ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka yang bergejala ke taska atau tadika.

"Bagi kami, situasi ini agak baik dan perkembangan yang positif dan kita harap masyarakat terus peka dan memberi kerjasama bagi mengekang penularan penyakit ini," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada majlis perasmian Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 Mengikut Norma di Kampung Gong Tok Nasek di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, berdasarkan rekod sebanyak 2,090 kes HFMD direkodkan di Terengganu dalam tempoh 1 Januari hingga 21 Jun lalu.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 18.5 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Setakat ini, tiada taska atau tadika yang ditutup dengan majoritinya yang dijangkiti wabak ini berusia enam tahun dan ke bawah.

"Selain itu, tiada kes yang dimasukkan ke hospital akibat HFMD dengan kebanyakan pesakit hanya dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 4:23 PM