DATUK Dr Kasemani Embong (kanan) melawat booth pameran di dewan Merdeka, Kota Putera Square, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
DATUK Dr Kasemani Embong (kanan) melawat booth pameran di dewan Merdeka, Kota Putera Square, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Sebanyak 907 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Terengganu setakat semalam berbanding 782 kes pada 7 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, berlaku peningkatan mendadak sebanyak 125 kes direkodkan dalam tempoh seminggu.

Katanya, peningkatan tujuh kali ganda kes membabitkan penularan di 19 taska dan tadika di negeri ini termasuk kes persendirian.

"Setakat ini keadaan masih terkawal, pusat jagaan kanak-kanak itu dibenarkan beroperasi dan tidak ditutup.

"Kanak-kanak yang tidak menghidap penyakit itu boleh meneruskan persekolahan atau tinggal di pusat asuhan seperti biasa," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia di dewan Merdeka, Kota Putera Square, di sini, hari ini.

Menurutnya, perlu ada tanggungjawab di kedua-dua pihak terbabit.

"Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membendung penularan jangkitan seperti tidak menghantar anak ke pusat asuhan sekiranya mengalami simptom dan segera mendapatkan rawatan di klinik.

"Pihak taska pula disyorkan "gate keeping" dikukuhkan. Tanya dahulu ada simptom atau tidak sebelum menerima kanak-kanak masuk ke taska," katanya.

Katanya, bagi mengelakkan penularan pihak taska dan tadika disarankan lebih menekankan isu kebersihan serta sentiasa melakukan sanitasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:22 PM