Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan secara prinsipnya meluluskan cadangan membina jalan pintas sebagai laluan alternatif kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di sini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun pihak syarikat dicadangkan perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Apabila diluluskan secara prinsip, pihak syarikat dicadangkan perlu mematuhi semua condition precedent (syarat terdahulu) yang diletakkan oleh LLM dan juga kerajaan," katanya selepas menghadiri perasmian Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Fadillah berkata, syarat yang ditetapkan termasuk antaranya kajian alam sekitar, impak sosial dan trafik.

"Bagi memastikan projek ini viable (berdaya maju) dilaksanakan, perlu melihat bagaimana kos projek itu dan berapa tol yang dikenakan nanti untuk membayar balik hutang operasi dan sebagainya.

FADILLAH (duduk tengah) ketika sidang media selepas Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya Malaysia 2022. FOTO L Manimaran
FADILLAH (duduk tengah) ketika sidang media selepas Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya Malaysia 2022. FOTO L Manimaran

"Sama ada projek ini boleh dilaksanakan atau tidak akan hanya dimuktamadkan apabila semua kajian itu selesai dan dibentangkan, sekarang ini kita sedang menunggu proses ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Perak bersetuju dengan cadangan membina jalan pintas sebagai laluan alternatif kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Cadangan membina laluan pintas sejauh 64 Kilometer itu bermula dari susur keluar Gopeng melalui Seputih sebelum keluar di Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 1:51 PM