BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
Hamzah Osman


Langkawi: Dewan Negara dicadangkan menambah bilangan ahli dipilih dari negeri bertujuan mengimbangi kedudukan Parlimen ketika ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, sehingga kini perkara itu tidak pernah diteliti dan dilaksanakan.

"Fasal (4) Perkara 45 Perlembagaan Malaysia menetapkan Parlimen boleh melalui undang-undang menambah bilangan ahli, yang dipilih oleh negeri daripada dua menjadi tiga, dan mengurangkan bilangan ahli yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.

"Perenggan (a) dalam peruntukan tersebut, secara khusus memperuntuk penambahan bilangan ahli yang dipilih oleh negeri, daripada dua menjadi tiga," titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin percaya, peruntukan itu selaras dengan semangat perlembagaan seperti yang dicadangkan Laporan Suruhanjaya Reid, bertujuan mengimbangi Parlimen melalui Dewan Negara, yang membawa suara negeri.

"Dewan Negara perlu diperkasa semula agar suara negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia lebih didengari di Parlimen dan terus berperanan mengimbangi fungsi Dewan Rakyat.

"Beta berharap agar cadangan ini boleh dipertimbangkan dan diteliti untuk dilaksana di masa hadapan," titah baginda.

Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, Speaker Dewan Undangan Negeri (Kedah) Datuk Juhari Bulat dan Menteri Besar Datuk Seri Sanusi Md Nor.

Untuk rekod, tiga kertas kerja turut dibentangkan pada persidangan ini iaitu Pengenalan Sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat, Cadangan Penubuhan Bahagian Penyelidikan di Dewan Undangan dan Bangun Membina Perubahan Berkekalan di Malaysia.

SULTAN Sallehuddin (tiga kanan) menerima cenderakenangan selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2022. FOTO Hamzah Osman
SULTAN Sallehuddin (tiga kanan) menerima cenderakenangan selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2022. FOTO Hamzah Osman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 3:48 PM