BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengecualian sewaan kantin dan premis dalam sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilanjutkan enam bulan lagi bermula 1 Julai sehingga 31 Disember, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, perlanjutan itu dibuat selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa serta memahami pengusaha kantin dan penyewa premis dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

"Tempoh dua tahun yang lalu adalah satu tempoh yang amat sukar bagi pengusaha kantin dan juga penyewa premis di sekolah KPM.

"KPM yakin perlanjutan untuk tempoh enam bulan ini akan dapat membantu dan memberi manfaat kepada pengusaha kantin dan juga penyewa premis di sekolah KPM dan seterusnya memberi manfaat kepada warga sekolah," katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau, hari ini.

RADZI. FOTO Arkib NSTP
RADZI. FOTO Arkib NSTP

Radzi turut berharap keputusan melanjutkan pengecualian itu dapat memberi kelegaan buat pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah bawah KPM.

Sebelum ini, dilaporkan KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang perniagaan di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan bermula Julai 2021 sebelum melanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi sehingga bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 1:29 PM