Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Pendidikan bersetuju untuk mengenakan pengecualian bayaran sewa terhadap pengusaha kantin dan premis dalam sekolah selama enam bulan, bermula bulan ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pendekatan itu diambil bagi mengambil kita cabaran yang perlu dihadapi pengusaha kantin serta premis lain.

Katanya, ia membabitkan lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara dan pendekatan ini semestinya menggembirakan mereka.

"Kita banyak menerima permohonan daripada pengusaha kantin untuk pengecualian sewa kantin.

"Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewa kepada premis dalam sekolah dan pengusaha kantin selama enam bulan bermula bulan ini sehingga Jun.

"Selain kantin, premis dalam sekolah membabitkan kedai dobi, koperasi dan mesin minuman air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sempena pengoperasian hari pertama sekolah di Kelantan di sini, hari ini.

Dr Radzi berkata, maklumat lebih terperinci berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihaknya dalam masa terdekat.

"Ini bukan penangguhan bayaran sebaliknya pengecualian terus selama enam bulan bagi meringankan beban mereka," katanya.

KANTIN SEKOLAH.
KANTIN SEKOLAH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 10:21 AM