Mahaizura Abd Malik


MENGGABUNGKAN elemen budaya masyarakat India, Cina, Melayu, peranakan Baba dan Nyonya selain bola sepak sebagai tema majlis resepsi perkahwinan mereka.

Itu kelainan diangkat pasangan pengantin baharu Shinna Teh dan G Roshan masing-masing berusia 29 tahun, bagi mengabadikan detik istimewa yang berlangsung 15 Februari lalu dan majlis sebelah pihak wanita Sabtu ini.

Menurut Roshan, idea berkenaan dirancang mereka yang berkenalan selama enam tahun.

“Saya puas hati persiapan dan rancangan yang dibuat kira-kira dua tahun berjaya direalisasikan dalam majlis perkahwinan kami.

“Idea ini datang kerana kami mahu kepelbagaian budaya dan masyarakat majmuk di negara kita diabadikan dalam majlis ini.

“Pada majlis itu, tetamu diberi kebebasan memakai pakaian formal, tradisi India dan jersi bola sepak, malah lagu diputarkan juga pelbagai termasuk lagu tema piala dunia,” katanya upacara perkahwinan mereka dijalankan mengikut adat Baha’i.

Harian Metro pernah menyiarkan kisah pasangan ini yang menjadi perhatian rakyat Malaysia selepas Roshan membuat kejutan melamar Shinna disaksikan 83,000 penonton ketika perlawanan Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Bukit Jalil, 24 November 2018.

Sementara itu, Shinna berkata, dia teruja dapat menyarung pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India, Lehenga, Sabtu lalu.

“Ia sesuatu mencabar, tetapi amat menyeronokkan apabila kita dapat belajar dan mengenali budaya lain.

“Apa yang penting kedua-dua keluarga dan tetamu nampak seronok dengan kelainan yang cuba kami tonjolkan.

“Sebelah saya Sabtu ini, kami akan diraikan pula dalam budaya Baba dan Nyonya di mana tetamu wanita akan mengenakan kebaya selain gimik berpantun dan permainan mengujakan,” katanya.

Katanya, dia berharap ikatan perkahwinan itu akan berkekalan dan cabaran rumah tangga dapat dilalui bersama hingga akhir hayat.

“Walaupun berlainan adat dan budaya, ia bukan masalah. Malah saya dan suami belajar menyesuaikan diri dan melengkapi antara satu sama lain untuk memastikan keharmonian rumah tangga kami. Saya berharap segala cabaran mendatang dapat diharungi bersama sampai akhir hayat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:38 PM