AINA  bersama bapa dan ibunya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMA dan SMATQ Negeri Selangor 2015 di SAM Bestari, Subang Jaya.
AINA bersama bapa dan ibunya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMA dan SMATQ Negeri Selangor 2015 di SAM Bestari, Subang Jaya.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Subang Jaya: “Saya tahu tidak akan terbalas jasa kedua ibu bapa saya seumur hidup, namun kejayaan ini adalah ‘hadiah’ terindah buat mereka yang bersusah payah untuk saya selama ini.

“Jika tidak kerana mereka, tidak mungkin saya sampai ke tahap ini,” kata Aina Syazzelina Rosaini yang memperoleh pencapaian keseluruhan enam mumtaz dalam Sijil Menengah Agama (SMA) 2015.

Aina Syazzelina berusia 17 tahun dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Nurul Iman, Bukit Cherakah, Petaling muncul pelajar cemerlang keseluruhan di Selangor dengan rekod pencapaian 98.8 peratus.

Anak pemandu lori itu berkata, kesusahan hidup keluarga membuka matanya untuk fokus dalam pelajaran dan berazam menjadi pensyarah suatu hari nanti.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Aina Syazzelina mengakui lebih gemar membaca al-Quran serta melakukan Qiamullail serta mengulang kaji mata pelajaran setiap hari bermula jam 4 pagi sebelum ke sekolah.

“Saya membuat persediaan awal pada awal tahun sebelum hari peperiksaan supaya tidak mahu terbeban pada saat akhir, termasuk mengamalkan solat sunat seperti tahajud dan hajat.

“Fokus saya selepas ini ialah mahu berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di negara Asia Barat nanti,” katanya selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMA dan Sijil Menengah Agama Tahfiz al-Quran (SMATQ) 2015 di SAM Bestari, di sini, semalam.

Keputusan berkenaan diumumkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim.

SAM Bestari USJ Subang Jaya Petaling menduduki tempat teratas selepas merekodkan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) 1.21 diikuti Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat (1.37) serta Maahad Intergrasi Tahfiz Selangor Klang (1.65).

Sementara itu, percubaan menggunakan teknik menghafal dan menulis kembali ke dalam nota ringkas yang diamalkan Mohamad Ariff Fitri Jukebeli, 17, sejak memasuki SAM Bestari berbaloi apabila muncul sebagai pelajar cemerlang keseluruhan bagi kategori lelaki peperiksaan SMA 2015.

“Selain fokus dalam kelas, saya suka menghafal apa yang dibaca sebelum tulis semula dalam nota ringkas yang dibawa ke mana-mana saja.

“Cara ini saya praktikkan setiap hari sehingga tiba hari peperiksaan selain turut mengamalkan solat sunat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 9:03 AM