Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri komited untuk membangunkan tanah terbiar di Terengganu dengan memfokuskan tanaman bermutu tinggi seperti durian musang king dan mangga harumanis.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, projek perintis yang membabitkan kira-kira 20 hektar kawasan tanah terbiar di daerah Setiu sedang dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata, setakat ini,lebih 60 pengusaha di daerah itu menyertai projek penanaman tanaman yang bernilai tinggi dan mampu meningkatkan pendapatan mereka.

"Kami meletakkan sasaran untuk membangunkan sekitar 100 hektar setahun dan setakat ini, projek berkenaan berada dilandasan yang tepat.

"Kita ada projek perintis pembangunan tanah terbiar di kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Permaisuri dan RTB Kampung Rahmat, Langkap di Setiu," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), merintis program penbangunan tanah terbiar bersama Jabatan Pertanian Negeri dan Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.

"Pemilik-pemilik tanah kita libatkan dalam satu koperasi, mereka akan menjadi ahli kepada koperasi (dan) dalam masa yang sama akan bekerja dengan TADC iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

TINJAUAN peniaga yang menjual durian musang king di Pasar Payang. FOTO GHAZALI KORI
TINJAUAN peniaga yang menjual durian musang king di Pasar Payang. FOTO GHAZALI KORI

"Ada model-model bisnes yang dipersetujui bersama iaitu selepas daripada sembilan tahun kebun ini akan jadi milik mereka sepenuhnya dengan yang kita fokus sekarang ini adalah tanaman bernilai tinggi iaitu harumanis dan musang king," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Azman berkata, pemilihan dua tanaman itu kerana ia bernilai tinggi dan boleh menyumbang kepada pendapatan pemilik walaupun diusahakan secara kecil-kecilan.

Katanya, pihaknya juga menggalakkan pemilik-pemilik tanah berkenaan mengusahakan tanaman kontan yang lain bagi membangunkan tanah terbiar di Terengganu.

"Kalau mereka mahu usahakan tanaman kontan, kerajaan negeri ada dana untuk pembangunan sehingga RM20,000 per hektar untuk cuci kawasan, buat pagar, sistem perparitan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 5:44 PM