GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang penjawat awam dan seorang remaja perempuan bawah umur antara 52 individu yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah di sebuah pusat hiburan di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, dalam operasi jam 2 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 180 pengunjung yang berhibur di premis berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seramai 34 lelaki termasuk seorang penjawat awam positif dadah, 18 wanita dan seorang remaja bawah umur berusia 17 tahun juga positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

Katanya, selain itu, seramai 19 warga asing turut ditahan kerana positif dadah dan pas lawatan sosial tamat tempoh.

"Menerusi operasi berkenaan, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis.

"Premis berkenaan dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam saja tetapi ketika serbuan beroperasi lebih masa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/98 dan juga Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 9:59 PM