Syafil Syazwan Jefri

Hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia bukan perkara baharu. Tidak hanya terbatas atas hal berkaitan kenegaraan, malah karya seni dan muzik juga menjadi penyatu.

Itu juga menjadi matlamat besar penyanyi negara itu, Rizky Febian apabila lagu duet dendangannya bersama Ziva Magnolya, Terlukis Indah kini memanjat carta muzik di Malaysia.

Berkesempatan menemu bual kedua-dua bintang ini secara virtual baru-baru ini, mereka berkongsi visi, misi dan pengalaman dalam menghasilkan karya indah ini.

"Apa yang berlaku adalah sesuatu yang saya anggap sebagai kejutan. Kami sendiri juga tak menyangka lagu ini mampu memanjat carta muzik Malaysia.

"Itu juga sekali gus menjadi pelengkap matlamat utama saya dalam menjadikan muzik sebagai sesuatu yang mampu menyatukan Malaysia dan Indonesia," katanya.

Menurutnya, dia sentiasa meletakkan harapan supaya karya muzik dapat menjadi pengukuh tali silaturahim antara kedua-dua negara.

"Saya sangat berbesar hati dan berbangga melihat sokongan daripada kedua-dua negara kepada satu sama lain terutama dalam muzik.

"Ini menguatkan lagi semangat saya untuk berkarya dan menjadikan muzik sebagai pengukuh tali silaturahim antara kedua-dua negara," katanya.

Berkongsi mengenai kejayaannya bersama Ziva menerusi lagu cinta itu, Rizky menganggap sokongan itu adalah pembakar semangat buat mereka.

RIZKY dan Ziva tak sabar untuk menemui peminat di Malaysia.
RIZKY dan Ziva tak sabar untuk menemui peminat di Malaysia.

"Sokongan dan sambutan yang begitu menggalakkan daripada peminat di Malaysia menjadi kebanggaan dan motivasi untuk kami berdua terus berkarya," katanya.

Berkongsi mengenai penghasilan karya yang juga banyak digunakan sebagai muzik latar di aplikasi TikTok itu, Rizky berkata, ia adalah berdasarkan keserasian antara mereka.

"Terlukis Indah ini tercipta kerana hubungan rapat antara saya dengan Ziva. Kami ada cerita di sebalik tabir kami sendiri yang digunakan untuk melakar karya ini.

"Pada awalnya, saya dan Ziva bertemu dalam satu program yang saya acarakan. Dalam satu segmen, artis jemputan perlu menyanyikan lagu secara spontan.

"Selepas itu, saya mula berasakan ada keserasian antara kami dan saya cuba hasilkan satu karya duet. Dalam satu malam, saya siapkan susunan lagu ini," katanya.

Bagi Ziva, peluang untuk bekerjasama dengan Rizky adalah peluang keemasan yang tak mungkin dilepaskannya.

"Saya anggap Rizky adalah versi diri saya sekiranya saya seorang lelaki. Saya melihat perkembangan karier seninya dan sentiasa menjadikannya sebagai contoh dalam bidang muzik.

"Muzik, cara nyanyian dan karyanya ada banyak persamaan dengan diri saya. Sekiranya ditanya, apakah matlamat saya atau definisi kejayaan buat diri saya, saya akan berikan contoh, ingin menjadi sepertinya," katanya.

Video muzik dan video lirik Terlukis Indah juga turut mencuri perhatian ramai penonton dan sehingga kini, sudah ditonton lebih 10 juta secara keseluruhan sejak ia dilancarkan di saluran YouTube Rizky serta Ziva dua bulan lalu.

"Untuk menghasilkan video muziknya juga adalah cabaran besar. Pada awalnya, kami keluarkan video lirik dan kemudian video muzik. Cabaran utamanya adalah bagaimana untuk menjalani penggambaran dalam situasi pandemik Covid-19.

"Apa-apa pun, semuanya berjalan lancar dan kami mengikuti segala protokol kesihatan yang ditetapkan untuk menjaga keselamatan semua yang terbabit," kata Rizky.

Bagi Ziva, video muzik itu dihasilkan dengan konsep sederhana dan perkara menyeimbangkan karya berkenaan.

"Kalau kita dengarkan melodi dan muziknya, ia sudah cukup mewah. Jadi, video muzik yang bersifat sederhana akan menyeimbangkan karya ini supaya orang tidak sukar untuk mencerna," katanya.

Ditanya sama ada mereka bakal bekerjasama lagi pada masa akan datang, Rizky berkata, dia sudah punya perancangan ke arah itu.

"Memang saya sudah fikirkan apa karya yang sesuai untuk projek kami seterusnya. Insya-Allah, akan ada, tapi yang paling saya nantikan adalah untuk ke Malaysia membuat persembahan dan bertemu dengan peminat kami," katanya.

(Yang menemu bual Rizky Febian dan Ziva Magnolya secara maya, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:00 AM