GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dua wanita kerugian RM292,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam dalam dua kejadian berasingan, pada 21 dan 30 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, kedua-dua mangsa berkenaan masing-masing dari Senawang dan Rembau.

Katanya, kes pertama membabitkan seorang kerani berusia 46 tahun yang terjerat dengan penipuan bungkusan hadiah serta dokumen dari luar negara yang didalangi sindiket Macau Scam.

"Mangsa mendakwa menerima mesej berhubung perkara itu melalui aplikasi WhatsApp pada 9 malam, 21 September lalu ketika berada di rumah.

"Pada 23 September, mangsa diminta memasukkan wang sebanyak RM5,000 bagi cukai bungkusan berkenaan ke atas akaun bernama Caroline Man," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas 10 minit melakukan transaksi, mangsa sekali diminta memasukkan wang sebanyak RM18,500 ke akaun sama kerana ahli sindiket mendakwa terdapat wang tunai di dalam bungkusan berkenaan.

Katanya, ahli sindiket turut meminta mangsa memasukkan sebanyak RM75,000 lagi ke dalam akaun sama.

Aibee berkata, pada 25 September, ahli sindiket meminta mangsa memasukkan RM80,000 lagi ke dalam satu lagi akaun lain, namun mangsa hanya memasukkan sebanyak RM10,000.

"Akhirnya, mangsa sedar menjadi mangsa penipuan dan tidak lagi memasukkan wang seperti diminta ahli sindiket, secara keseluruhan mangsa kerugian RM108,500.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 30 September lalu," katanya.

Aibee berkata, kes kedua pula membabitkan seorang suri rumah berusia 68 tahun dari Rembau yang terjerat dengan sindiket berkenaan bermula 29 September lalu.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada seorang perempuan yang mendakwa dirinya sebagai Koperal Azizah dari Balai Polis Jalan Cambell, Seremban.

"Mangsa diberitahu kad pengenalannya digunakan individu yang belum dapat dikenal pasti dalam pengedaran wang haram, dadah dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) di Pos Laju Seremban.

"Mangsa menafikan terbabit dalam aktiviti berkenaan dan panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada Koperal Kamarul daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban," katanya.

Katanya, Koperal Kamarul kononnya menerangkan kepada mangsa yang seorang lelaki menyalahgunakan kad pengenalan mangsa bagi tujuan wang haram dan memasukkan sebanyak RM2,300 ke dalam akaun mangsa.

"Koperal Kamarul meminta mangsa mengeluarkan wang simpanannya di dalam akaun kerana akaun berkenaan akan disiasat oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan mangsa bersetuju.

"Mangsa membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza pada 29 September sebanyak dua kali dan sekali pada 1 Oktober (semalam) dengan jumlah keseluruhan pemindahan sebanyak RM183,770," katanya.

Aibee berkata, mangsa yang sedar tertipu membuat laporan polis.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Kami harap orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya didakwa menerima bungkusan hadiah dari luar negara khususnya dan panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai polis," kata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 1:43 PM