Gambar hiasan
Gambar hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kemurahan hati seorang wanita ingin membantu 'rakan lelaki' yang baharu dikenali untuk melangsaikan bayaran kos kuarantin akhirnya memakan diri apabila dia diperdaya sindiket Love Scam.

Wanita berusia lewat 30-an itu kerugian RM11,700 wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat menerusi beberapa transaksi selepas 'rakan lelakinya' yang berasal daripada Eropah Timur itu memaklumkan kononnya dikuarantin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa berkenalan dengan suspek pada Mei lalu menerusi Facebook.

Beliau berkata, suspek ingin mengenali mangsa yang tidak bekerja itu dengan lebih rapat dan akan ke Malaysia untuk berjumpa mangsa.

"Pada 22 Julai, mangsa menerima mesej menerusi WhatsApp' daripada suspek yang menyatakan sudah tiba di Malaysia tetapi ditahan di KLIA untuk proses kuarantin.

"Keesokan harinya, mangsa dihubungi seorang wanita yang menyamar sebagai kakitangan kerajaan meminta mangsa membuat bayaran kos kuarantin kenalan alam mayanya itu sebanyak RM5,200 ke satu akaun bank tempatan.

"Tiga hari selepas itu mangsa membuat bayaran RM2,000 ke akaun bank yang sama sebagai bayaran deposit rawatan hospital sebaik dimaklumkan bahawa kenalannya itu didapati positif Covid-19 dan sekali lagi meminta dibuat bayaran berjumlah RM4,500 pada hari berikutnya sebagai bayaran bil rawatan hospital," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Azizul berkata, mangsa yang sudah kerugian RM11,700 merasakan tertipu apabila suspek masih menghubunginya dan meminta dimasukkan wang atas pelbagai alasan lain sebelum laporan polis dibuat pada 28 Julai lalu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebat serta dikenakan denda.

"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan pemintaan atau arahan yang diberikan oleh individu yang tidak dikenali dan segera dapatkan nasihat daripada pihak berkuasa jika mendapat panggilan yang meragukan terutama meminta bayaran atau maklumat kewangan.

"Talian khusus untuk pertanyaan kes penipuan dalam talian iaitu CCID Scam Response Centre boleh dihubungi di talian 03-2510 1559 dan 03-2610 1599," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 4:00 PM