MUHAMMAD Fahmirul (kiri) dan isteri, Amalia Asyikin melayani tetamu dengan menu yang dimasak sendiri ibu saudaranya di Kampung Kesom, Manir. FOTO Zaid Salim
MUHAMMAD Fahmirul (kiri) dan isteri, Amalia Asyikin melayani tetamu dengan menu yang dimasak sendiri ibu saudaranya di Kampung Kesom, Manir. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Kenaikan harga barangan keperluan asas turut memberi kesan kepada mereka yang bercadang mengadakan majlis kenduri perkahwinan apabila perbelanjaan meningkat.

Tinjauan di majlis kenduri di daerah ini mendapati, rata-rata keluarga pengantin yang ditemui mengakui memilih memasak sendiri hidangan untuk tetamu berbanding menggunakan khidmat katering bagi menjimatkan kos.

Suri rumah Mariam Ismail, 65, dari Kampung Kesom, Manir, di sini, berkata, memandangkan harga barang keperluan mahal, keluarganya memilih menyediakan sendiri makanan untuk tetamu ketika majlis perkahwinan anaknya baru-baru ini.

"Bagi yang berkemampuan mungkin kenaikan harga barangan ini tidak terasa sangat, tetapi tidak bagi keluarga saya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Pengantin Muhammad Fahmirul Mohd Aripin, 29, berkata, ketika majlis perkahwinan bersama pasangannya, Amalia Asyiqin Harum, 27, baru-baru ini, dia hanya membelanjakan lebih RM3,000 untuk menyediakan makanan kepada tetamu.

"Hanya dua jenis lauk sahaja yang kami buat iaitu gulai berasaskan ikan dan ayam, tembikai dan sedikit sayur untuk hidangan kepada 300 tetamu.

"Kalau tempah (menggunakan khidmat katering), perbelanjaan mungkin jadi sekali ganda atau lebih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 4:24 PM