Orang ramai beratur menikmati hidangan kenduri kahwin di warung di Kampung Paya Rumput di sini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Orang ramai beratur menikmati hidangan kenduri kahwin di warung di Kampung Paya Rumput di sini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Seperti hadir ke majlis kenduri kahwin, orang ramai boleh merasai suasana majlis perkahwinan sambil menikmati lauk pauk dan hidangan perkahwinan di sebuah warung di Kampung Paya Rumput di sini.

Lebih menarik warung makan berkenaan turut dilengkapi set pelamin, bunga manggar dan muzik persis majlis kahwin yang kebiasaan diadakan.

Pengurus warung berkenaan, Huzaimi Hussain, 35, berkata, dia menggunakan konsep kenduri kahwin di situ sejak lebih sebulan lalu sekali gus melepaskan kerinduan orang ramai untuk menikmati masakan gulai kawah.

Menurutnya, pelbagai jenis lauk termasuk daging kambing, lembu ayam, ikan telapia, dalca dan sayur bersama nasi putih atau biryani yang disediakan dengan harga berpatutan.

Katanya, hanya dengan harga antara RM8 hingga RM15, mereka bebas memilih lauk pauk yang diingini dengan air tambahan percuma.

Justeru, bagi yang merindui untuk menikmati lauk pauk kenduri kahwin, menyebabkan dia bertindak sedemikian dalam masa sama orang ramai seolah olah mengunjungi majlis perkahwinan saudara mara atau jiran mereka.

"Idea terbabit timbul selepas perintah kawalan pergerakan ( PKP) susulan peralatan seperti khemah, kerusi dan meja terbiar kerana tiada perniagaan.

"Daripada terbiar, saya mengambil pendekatan untuk menempatkannya di warung berkenaan dan membuka perniagaan dengan konsep baharu," katanya.

Huzaimi berkata, pada awalnya dia buntu dengan peralatan yang banyak tetapi tiada perniagaan kerana kekangan pergerakan oran ramai menyebabkan dia cuba mengubah kepada konsep terbabit sebagai pilihan buat orang ramai menikmati suasana perkahwinan di warungnya.

Nyata pendekatannya itu mendapat sambutan menggalakkan dan di luar dugaan sehingga orang ramai terpaksa beratur untuk mendapatkan makanan.

Namun apa yang menarik terdapat juga individu yang menaja makanan untuk dinikmati orang ramai dengan bertindak membayar apa yang dimakan tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 4:33 PM