RINA Jainal. FOTO BERNAMA
RINA Jainal. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (WARISAN) keluar parti hari ini menjadikan enam orang meninggalkan parti itu sejak tahun lalu.

Yang terbaharu ialah ADUN Kukusan, Rina Jainal yang mengumumkan keluar parti pada sidang media tergempar bersama Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, di sini, petang ini.

Rina turut menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Harapan Rakyat yang menyatakan pendirian mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan keluar parti adalah berdasarkan kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, beliau kini menyokong GRS-BN yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

"Namun, demi perjuangan untuk rakyat, saya tetap teruskan biar berlainan platform. Tindakan saya ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan tiada perselisihan antara saya dan pimpinan WARISAN sebelum ini.

"Cuma tindakan ini saya kira atas faktor rakyat di kawasan saya wakili kerana hanya GRS sahaja dapat membangunkan ekonomi setempat setakat ini," katanya.

Sebelum ini WARISAN kehilangan Hassan A Ghani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamadin Ketapi (Segama / Parlimen Lahad Datu), Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Juil Nuantim (Limbahau).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:23 PM