Air ketum yang dirampas pihak berkuasa. FOTO ihsan PDRM
Air ketum yang dirampas pihak berkuasa. FOTO ihsan PDRM
Aizat Sharif


Arau: Seorang suri rumah ditahan selepas polis merampas 159 bungkusan dan botol air ketum di rumahnya di Kampung Baru Arau, Jalan Tambun Tulang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 4 petang selepas polis menerima maklumat orang ramai mengenai kegiatan wanita berusia 40 tahun itu yang menjadikan rumahnya sebagai premis menjual bahan berkenaan.

"Semasa serbuan dan pemeriksaan dilakukan, kita menjumpai 150 bungkusan plastik cerah berikat getah setiap satu mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran sebanyak 45 liter (L) dan sembilan botol plastik berpenutup di mana setiap satunya mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran 14L.

"Barang berkenaan ditemui atas lantai tandas bahagian dapur rumah suspek," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek sudah enam bulan menjual air ketum di sekitar kampung berkenaan.

"Suspek mengaku bahawa air ketum itu adalah untuk aktiviti perniagaan miliknya yang dijual di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10, Tambun Tulang di Arau.

"Suspek memberitahu bahawa sebungkus air ketum itu dijual dengan harga RM4 manakala sebotol bahan itu pula dijual dengan harga RM10," katanya.

Ahmad Mohsin berkata, semakan polis terhadap suspek mendapati wanita itu mempunyai satu kes jenayah lampau membabitkan siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki bahan ketum.

"Nilai rampasan adalah dianggarkan bernilai RM690 dan suspek kini direman sehingga 5 Jun hadapan untuk siasatan lanjut.

"Rampasan dibawa ke IPD Arau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 8:46 PM