Antara bungkusan ketum yang dirampas dalam kebun kelapa sawi semalam. FOTO Ihsan PDRM
Antara bungkusan ketum yang dirampas dalam kebun kelapa sawi semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Fatihah Sulaini


TAKTIK licik lelaki menggunakan kawasan kebun sawit sebagai tempat memproses ketum bagi mengelak dihidu pihak berkuasa gagal apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, suspek berusia 23 tahun ditahan ketika membawa keluar bekalan ketum siap diproses ke Jertih, Besut 11.30 pagi semalam.

Beliau berkata, lelaki itu yang memiliki rekod jenayah lampau ditahan anggota dan pegawai Balai Polis Penarik di kebun kelapa sawit di Kampung Saujana.

“Ketika ditahan suspek berada di dalam pacuan empat roda dan pemeriksaan fizikal tidak menemui barang menyalahi undang-undang.

“Polis kemudian membuat pemeriksaan lanjut di tempat meletak barang dan menjumpai beberapa bungkusan berisi air ketum.

“Pemeriksaan lanjut di bangsal berhampiran menemui peralatan memproses ketum,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, susulan penahanan lelaki itu, pihaknya merampas 200 bungkus plastik kecil dan 643 bungkusan plastik cerah berisi cecair ketum dengan nilai anggaran RM4,500.

“Peralatan memproses ketum yang digunakan suspek ialah dua dapur gas, dua tong gas dan dua periuk besar,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau iaitu Seksyen 30(3) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 7:10 PM