Khairulmizan Yahya


Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan supaya lebih banyak empangan dan telaga tiub dibina di lokasi sesuai yang sudah dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kebakaran ekoran cuaca panas melampau.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, 406 kawasan di seluruh negara dikenal pasti sebagai titik panas dan berisiko berlaku kebakaran terbuka.

"Kita sudah menyarankan supaya lokasi yang dikenal pasti ini disediakan empangan dan telaga tiub dengan kerjasama antara JBPM negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mengenal pasti lokasi-lokasi baru yang bersesuaian.

"Selain itu, JBPM juga sudah merancang untuk membuat perolehan tambahan termasuk pam mudah alih bagi kegunaan operasi. Malah, peruntukan untuk penambahan perolehan itu bagi tahun ini sudah diluluskan dan kini dalam proses tender terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Abdul Wahab menjelaskan, penggunaan empangan dan telaga tiub sangat efektif dalam operasi pemadaman kebakaran hutan terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai akses air atau sumber air yang terhad.

DATUK Abdul Wahab (tengah) ketika sidang media pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
DATUK Abdul Wahab (tengah) ketika sidang media pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang

Beliau berkata, beberapa titik panas dikenal pasti di negeri ini seperti di kawasan tebu hitam, Rompin, Pekan serta Penor dan Gebeng.

Selain itu, tambahnya, JBPM negeri sudah diarahkan untuk membuat rondaan awal di kawasan dikenal pasti dan bekerjasama dengan agensi berkaitan, khususnya Jabatan Alam Sekitar, dan memantau perkembangan semasa cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

"Kita sudah bersiap menghadapi kes-kes kebakaran terbuka terutama membabitkan kawasan tanah gambut dan sebagai langkah persediaan awal, semua aset yang diperlukan sudah diselenggara.

"Ia juga berada dalam keadaan sedia digunakan untuk operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:49 PM