Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Jenazah Komander (B) Mohd Sabri Baharon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves pada 2.30 petang hari ini.

Allahyarham Mohd Sabri dibawa dari Masjid Khalid Al-Walid di Jalan Padang tembak, Kuala Lumpur tiba di pekarangan tanah perkuburan pada 2.10 petang.

Kira-kira 20 ahli keluarga dan kenalan dibenarkan hadir menziarahi jenazah.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan ketika jenazah diturunkan ke liang lahad.

Turut kelihatan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Jeneral Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Talkin dibacakan Pegawai Staf 1 Agama, Markas TLDM Leftenan Kolonel Abdul Jabbar Yusof.

Allahyarham Mohd Sabri yang tidak berkahwin itu adalah anak kedua daripada enam beradik dan tinggal bersama ibunya yang berusia 75 tahun.

Semalam dilaporkan, jurulatih penerbangan, Mohd Sabri Baharon dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki terhempas di Jalan Melawati, Ampang pada 11.30 pagi manakala satu lagi helikopter membuat pendaratan cemas.

Ibu Allahyarham Mohd Sabri (duduk berbaju hitam)  di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Gombak hari ini. Foto Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Ibu Allahyarham Mohd Sabri (duduk berbaju hitam) di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Gombak hari ini. Foto Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kedua helikopter jenis G2CA itu dipercayai dalam penerbangan latihan dari Subang menuju ke Genting Sempah.

Kejadian itu juga menyebabkan dua lagi penumpang yang menaiki helikopter berasingan selamat dikenali sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51.

Punca kemalangan membabitkan dua helikopter akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.

Berita berkaitan:

  • Nahas helikopter: Jenazah Mohd Sabri akan dikebumikan di Batu Caves
  • 'Saya cam tangan dan jam arwah adik' [METROTV]
  • [UPDATE]: Mangsa nahas helikopter dikenal pasti [METROTV]
  • Helikopter terhempas ketika ujian penerbangan [METROTV]
  • 2 maut helikopter terhempas [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:02 PM