PETIKAN video pergaduhan dikatakan berlaku di kondominium yang tular. FOTO ihsan Polis
PETIKAN video pergaduhan dikatakan berlaku di kondominium yang tular. FOTO ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan yang dikatakan berlaku di kondominium di Setapak, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis terkesan video berdurasi dua minit 10 saat dimuat naik di Facebook.

"Video berkenaan memaparkan insiden pergaduhan membabitkan tiga lelaki tempatan di sebuah kondominum.

"Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, video tular menunjukkan dua lelaki memukul dan menendang seorang lelaki beberapa kali sehingga cuba dihalang oleh dua lagi lelaki, namun mereka turut dimarahi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 4:20 PM