FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tindakan tegas termasuk penguatkuasaan akan diambil terhadap individu warga asing yang menjalankan perniagaan di ibu kota termasuk Putrajaya dan Labuan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata hanya peniaga tempatan yang berlesen sahaja dibenarkan berniaga termasuk di premis disediakan oleh ketiga- tiga Wilayah Persekutuan berkenaan.

Katanya, peniaga selain daripada warga tempatan, pihak berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus menjalankan penguatkuasaan.

"Saya ingatkan kepada mereka, bahawa tindakan sewajarnya lambat laun akan sampai disebabkan pihak penguatkuasa sedang mengadakan operasi ketika ini.

"Tindakan tegas juga akan diambil kepada individu yang turut menyewakan lesen atau premis kepada pihak ketiga," katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu malam tadi.

Hadir sama Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Syed Junid.

Katanya, tiada kompromi terhadap pihak yang menyewa premis berkenaan termasuk peniaga warga asing terbabit.

Ahli Parlimen Jelebu itu berkata penguatkuasaan bagi menyelesaikan masalah berkenaan akan terus diadakan bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga membabitkan Putrajaya dan Labuan.

Sementara itu, 10,000 penduduk khususnya dari kawasan Parlimen Jelebu hadir pada rumah terbuka berkenaan yang diadakan bermula jam 7.30 malam hingga 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 11:50 AM