GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak Forestry Corporation (SFC) digesa melaksanakan langkah proaktif dan holistik bagi menangani insiden serangan buaya yang semakin kerap berlaku ketika ini.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau bimbang jika konflik itu tidak ditangani dengan berkesan, ia akan menyebabkan lebih banyak pertembungan antara manusia dengan reptilia ganas itu berlaku.

Ini kerana katanya, ramai masyarakat di Sarawak tinggal di penempatan berhampiran sungai serta kuala sungai yang menjadi nadi kehidupan mereka.

"Terbaru dua kejadian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Nyabut, Telaga Air, Kuching, Sabtu lalu serta seorang lelaki, Sebarang Bingkok, 56, di Sungai Ahong, Kampung Kangka, Lundu, Khamis lalu.

"Justeru langkah proaktif perlu dilaksanakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, keadaan kini agak membimbangkan apabila reptilia itu mula membiak dan dijumpai merata-rata di seluruh Sarawak seperti yang berlaku sebelum tahun 1960-an dahulu.

Justeru katanya, langkah segera harus diambil bagi menangani konflik buaya dan manusia selaras dengan ketetapan yang dicapai pada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) pada 2016.

Wan Junaidi ketika menjawat Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berjaya mengeluarkan Sarawak daripada Jadual 1 kepada Jadual 2 CITES.

"Apabila Sarawak berada dalam Jadual 2 CITES, pihak berkuasa boleh menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan itu namun tidak mendatangkan kepupusan.

"Walaupun sudah berada dalam Jadual 2, kita masih tidak mengawal populasi reptilia ini, hingga serangan turut berlaku di bandar bukan sahaja di kawasan

pedalaman," katanya.

Menurutnya, dengan jumlah buaya yang banyak, reptilia itu akan pergi ke tempat yang ada saliran air seperti longkang, parit, sungai dan kuala sungai.

"Perkara ini memang membimbangkan kerana apabila tiada tindakan yang boleh mengurangkan jumlah buaya, ia memberi kesan kepada apa yang

diputuskan CITES ketika bersidang di Johannesburg, Afrika Selatan pada 2016.

"Tidak adakah perundangan dan sistem berkaitan pengawalan buaya ini bagi membolehkan ia diniagakan pihak tempatan yang memberi pulangan kepada masyarakat setempat seperti yang

dikehendaki oleh CITES?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 8:06 AM