Foto Hiasan
Foto Hiasan
Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Cuaca ekstrim melanda negara kini disebabkan pertembungan dua fenomena alam iaitu La Nina dan Monsun Barat Daya hingga menyebabkan curahan hujan yang lebih lebat serta cuaca panas melampau.

Perkara itu didedahkan Pakar Oseanografi Universiti Malaya, Datuk Dr Azizan Abu Samah ketika diminta mengulas cuaca ekstrim yang melanda seluruh negara kini.

Menurutnya, Malaysia terletak di kawasan benua maritim di pengaruhi dua monsun iaitu monsun timur laut dari November ke Februari dan monsun barat daya dari Mei ke September.

Katanya, kawasan ini juga dipengaruhi fenomena ENSO-La Nina yang mempunyai kitaran dua hingga 5 tahun.

"Ditambah pula dengan fenomena La Nina yang melanda kita pada masa ini, menjadikan punca perubahan cuaca yang ekstrim dan tidak menentu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, taburan hujan dijangka meningkat kira-kira 10 hingga 20 peratus semasa fenomena La Nina melanda negara kita.

"ENSO melanda negara pada 2019, (ketika itu) Malaysia hadapi kemarau dan jerebu teruk. Bila La Nina melanda negapa pada 2021 hingga kini, kita hadapi curahan hujan lebih daripada biasa dan mempunyai risiko banjir besar.

"Ditambah pula dengan fenomena Monsun Barat Daya yang sudah menghampiri, cuaca di Malaysia akan menjadi lebih kering dan panas kerana perbezaan suhu di antara daratan dan lautan daripada pemanasan matahari.

"Fenomena La Nina dijangka berpanjangan selama beberapa bulan, di mana banjir kilat akan biasa berlaku pada tempoh ini," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, disebabkan curahan hujan lebih lebat, masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dengan kemungkinan berlaku banjir kilat terutamanya di sekitar ibu kota.

"Malaysia negara beriklim khatulistiwa, lembap dan selalu dilanda ribut petir. Jadi oleh kerana pertukaran guna tanah khasnya di kawasan bandar, kekerapan untuk terjadi banjir kilat meningkat.

"Penukaran guna tanah di kawasan bukit bukau dari hutan ke tanaman lain seperti sayur atau kelapa sawit juga akan meningkatkan risiko kejadian kepala air seperti baru-baru ini bila ribut petir terjadi di kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 3:27 PM