FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


FENOMENA hujan lebat dan ribut petir dalam jangkamasa singkat serta angin kencang dijangka melanda negara ini terutama pada waktu petang dan malam akibat peralihan monsun bermula esok hingga November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Alui Bahari memaklumkan permulaan fasa peralihan monsun ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya.

Katanya, dalam tempoh ini kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah.

“Lazimnya, kejadian hujan lebat dan ribut petir dalam jangkamasa yang singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu www.met.gov.my,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengetahui maklumat berkaitan cuaca melalui aplikasi mobil myCuaca, media sosial iaitu Facebook – malaysiamet dan Twitter - @malaysianmet serta MMD Hotline di talian 1-300-22-1638.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 8:33 PM