BOMBA menjalankan operasi mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA menjalankan operasi mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Seorang lelaki maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran Kolej Yayasan Pelajaran Johor di sini, hari ini, selepas membeli persiapan Aidilfitri bersama isterinya.

Mohd Izzat Najmi Mohd Zain, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Azra Nurmazmira Mazlan, 25, cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi Mohd Norahpandi Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.35 tengah hari.

Beliau berkata, dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari BBP Kota Tinggi dan Kulai dengan kekuatan 13 anggota dikerah ke tempat kejadian.

"Kejadian membabitkan kereta Perodua Axia dan lori, ia berlaku ketika pasangan itu ke Kulai selepas membeli-belah di sini.

"Lelaki yang memandu Perodua Axia disahkan meninggal dunia manakala isterinya cedera. Pemandu lori berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Operasi ditamatkan pada 3.10 petang," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 8:38 PM