KEADAAN dua Perodua Axia selepas bertembung di Kampung Mantanau Ulu Kukut, Kota Belud. FOTO Recqueal Raimi
KEADAAN dua Perodua Axia selepas bertembung di Kampung Mantanau Ulu Kukut, Kota Belud. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

Kota Belud: Dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Perodua Axia di jalan Kampung Mantanau Ulu Kukut, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, pemandu Perodua Axia warna biru gelap Jaky Joe Jubinsia Jinilo, 26, disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud manakala penumpang hadapan Biellko Pili, 25 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga lagi mangsa di dalam Perodua Axia itu cedera manakala tiga mangsa yang berada di Perodua Axia warna merah turut cedera dan semua mangsa dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, Perodua Axia warna biru gelap dari arah Kudat ke Kota Kinabalu dan sebuah lagi dari arah bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang mengenai kemalangan membabitkan dua kereta jenis Perodua Axia.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang mangsa yang tersepit di bahagian penumpang sebelah pemandu Perodua Axia warna biru gelap, berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi penumpang dihantar ke Hospital Kota Belud sebelum seorang lagi disahkan meninggal dunia.

"Pemandu dan dua penumpang Perodua Axia warna merah yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Rozlan, semua mangsa yang cedera masih menerima rawatan dan ditempatkan zon kuning.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat pada 6.30 petang dan jarak lokasi kejadian dari BBP Kota Belud sejauh 25 Kilometer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 9:42 PM