GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Biar pun belum menang sepenuhnya, kebenaran untuk "balik kampung beraya" antara petunjuk keyakinan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 dengan angka kes harian baharu kekal bawah 5,000 sejak lima hari lalu.

Ini diikuti beberapa kelonggaran protokol Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, berkuatkuasa 1 Mei, yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Rabu (27 April).

Semalam (28 April), sebanyak 2,935 kes harian baharu dilaporkan dengan rekod kes terendah dicatat pada 25 April iaitu 2,478 kes. Kali terakhir negara mencatat kes terendah sekitar 2,000 pada 2022 ialah pada 17 Januari iaitu sebanyak 2,342.

Kes kumulatif Covid-19 negara setakat ini adalah sebanyak 4,443,318 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 menyusut kepada 53,776 kes.

Kes harian baharu Covid-19 tertinggi dicatat setakat ini untuk 2022 ialah sebanyak 33,406 direkod pada 5 Mac dengan kes aktif sebanyak 311,206 kes.

Bagaimanapun, jumlah kes harian baharu Covid-19 dijangka meningkat semula berikutan sambutan hari raya Aidilfitri dengan kepulangan beramai-ramai warga kota ke kampung halaman setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian kerana sekatan rentas negeri akibat pandemik Covid-19.

Risiko jangkitan meningkat memandangkan ramai yang pulang serentak, dengan pergaulan antara keluarga dan sanak saudara termasuk aktiviti rumah terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:45 PM