PETUGAS kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di PKRC 2.0 MAEPS. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
PETUGAS kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di PKRC 2.0 MAEPS. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara semakin menurun sepanjang tempoh seminggu lalu, berikutan kes pesakit sembuh yang mengatasi kes harian baharu.

Sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (18 Sept-24 Sept 2021), angka kes sembuh paling tinggi dicatat adalah pada Ahad 19 September, sebanyak 23,469 kes berbanding kes harian baharu pada hari yang sama iaitu 14,954 kes.

Semalam, sekali lagi kes sembuh mengatasi kes harian baharu iaitu sebanyak 16,751 kes, berbanding kes harian baharu, 14,554 kes.

Setakat semalam, Malaysia merekod sebanyak 195,837 kes aktif Covid-19, berbanding 221,339 kes pada Jumaat 17 September 2021.

Angka kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh rangkuman, meskipun masih empat angka tetapi secara konsistennya di bawah 20,000 kes.

Paling rendah angka kes harian baharu Covid-19 untuk tempoh ini adalah semalam (23 September) iaitu sebanyak 13,754 kes.

Sehingga jam 12.00 tengah semalam, kes kumulatif Covid-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sebanyak 2,171,232 kes.

Dengan kumulatif kes 2,171,232 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Ukraine (2,379,483 kes) dan Filipina (2,453,328 kes).

Sementara Sarawak masih negeri di tempat teratas untuk rekod kes harian baharu tinggi dengan 2,825 kes, diikuti Selangor 2,244 kes dan Johor 1,807 kes.

Malaysia menyasarkan untuk beralih ke fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober 2021, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Setakat 22 September 2021, sebanyak 81 peratus atau 18,964,474 individu dewasa negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Sebanyak 1,049 kes Covid-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 559 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 250 kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 dalam negara berjumlah 24,931 kes.

Daripada 14,554 kes harian baharu yang dilaporkan pada 24 September, sebanyak 163 kes (1.1 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 sementara sebanyak 14,391 kes (98.9 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang Rangkuman Mingguan ini, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 23 September adalah Pahang (1.01), Terengganu (0.99) dan Perlis (0.99).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehingga 24 September 2021, Malaysia mempunyai sebanyak 1,250 kluster masih aktif. Secara keseluruhannya, terdapat 5,389 kluster di kesan di negara ini dan 4,139 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini, berdasarkan laporan KKM, terdapat sebanyak 142 kluster baharu. Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 75 kluster (52.8 peratus) dan kluster komuniti, 49 kluster (34.5 peratus).

Menurut perincian KKM, daripada 14,554 kes harian baharu, sebanyak enam negeri mencatat kes harian baharu empat angka, tujuh negeri mencatat kes harian baharu tiga angka, sementara dua negeri negeri mencatat dua angka. Sebuah negeri mencatat sifat kes.

Senarai negeri adalah seperti berikut:-

Kes baharu empat angka - Sarawak 2,825 kes, Selangor 2,244 kes, Johor 1,807 kes, Sabah 1,273 kes, Pulau Pinang 1,231 kes dan Perak 1,144 kes.

K​​​​es harian baharu tiga angka - Kelantan 910 kes, Kedah 908 kes, Terengganu 690 kes, Pahang 598 kes, Melaka 401 kes, WP Kuala Lumpur 271 kes dan Negeri Sembilan 157 kes.

Kes harian baharu dua angka - Perlis 65 kes dan WP Putrajaya 30 kes.

Kes harian baharu sifar angka - WP Labuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 8:49 AM