VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia terus mencatat kes harian baharu Covid-19 bawah 400 sepanjang minggu ketiga Januari 2023 dengan rekod kes terendah 227 kes pada 16 Januari.

Semalam (20 Januari), kes harian baharu yang dilaporkan adalah sebanyak 285 kes termasuk lima (5) kes import dan tujuh kes kematian.

Kelima-lima kes import itu dilaporkan di Melaka sementara empat kes kematian dicatat di Selangor dan tiga lagi di Kuala Lumpur.

Sepanjang Rangkuman Bernama dari 14 hingga 20 Januari, hanya sebanyak 2,081 kes harian baharu dilaporkan, susut sekitar 26 peratus berbanding 2,809 kes pada Rangkuman Mingguan 7 hingga 13 Januari.

Daripada 285 kes, sebanyak tujuh negeri/wilayah mencatat kes dua angka iaitu Selangor (98), Kuala Lumpur (69), Melaka (21), Johor (15), Perak (14), Sarawak (13) dan Pulau Pinang (11).

Negeri yang melaporkan kes satu angka ialah WP Putrajaya (9), Negeri Sembilan (9), Kedah (8), Pahang (6), Sabah (4), Terengganu (3), Kelantan (3), WP Labuan (1) dan Perlis (1).

Jumlah kumulatif kes Covid-19 negara menurut data KKMNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat jam 11:59 malam 20 Januari adalah sebanyak 5,034,228 kes.

Kes aktif berbaki 10,355 dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,957 kes (92.2 peratus) menjalani kuarantin di rumah.

Untuk rekod, kes pertama Covid-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.

Pada 1 April 2022, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik.

Dengan 5,034,228 kumulatif kes Covid-19, Malaysia kini menduduki tangga 28 daripada 229 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19.

Di hadapan Malaysia ialah Chile (5,099,468 kes) dan Ukraine (5,367,032 kes).

Dalam kalangan 229 negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi (82,614) diikuti Korea Selatan (27,408) dan Taiwan (18,218).

Amerika Syarikat mencatat jumlah kes kematian akibat Covid-19 tertinggi iaitu 1,128,497 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 10:47 AM