Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menjawab pertanyaan lisan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri. FOTO BERNAMA
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menjawab pertanyaan lisan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dana sebanyak RM2.5 juta diperlukan bagi memulihkan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu di sini, yang rosak teruk dilanda banjir besar Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Jeram Toi adalah lokasi eko-pelancongan yang terkenal di negeri ini khususnya di Jelebu dan berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.

Katanya, akibat banjir besar melanda Jelebu pada 18 Disember yang lalu, Jeram Toi musnah sama sekali.

"Sebaik sahaja berlakunya kejadian banjir di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dengan kerjasama agensi kerajaan lain di Daerah Jelebu mengadakan pembersihan sungai dan persekitaran di lokasi berkenaan.

"Jabatan Perhutanan juga memohon peruntukan bagi kerja-kerja awalan pembersihan sebelum dijalankan kerja menaik taraf.

"Pembangunan semula dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dijangka dapat menaikkan semula imej Jeram Toi sebagai satu lokasi eko-pelancongan menarik di Jelebu," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang ke-14, di sini, tadi.

Sementara itu, Aminuddin berkata pembinaan Muzium Keretapi Gemas kini dalam proses pelaksanaan secara berperingkat oleh Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan persetujuan bersama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 3:53 PM