Jelebu Xplorace 2019 akan diadakan secara percuma kepada orang ramai Sabtu ini. FOTO Ihsan Pembaca
Jelebu Xplorace 2019 akan diadakan secara percuma kepada orang ramai Sabtu ini. FOTO Ihsan Pembaca
Abnor Hamizam Abd Manap


BUAT julung kalinya Jelebu Xplorace 2019 akan diadakan secara percuma kepada orang ramai Sabtu ini.

Ia adalah salah satu acara dalam program Jelebu Kayak Eko Challenge (JKEC) 2019 anjuran Majlis Daerah Jelebu.

Perlumbaan sejauh lima kilometer itu akan bermula dan tamat di Dataran Kenaboi Empangan Sungai Buloh di sini dengan penyertaan terbuka kepada semua bangsa serta pelbagai peringkat usia.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu, Nurul Huda Musa berkata, 25 pasukan membabitkan 100 peserta disasarkan untuk menyertai acara yang menawarkan hadiah keseluruhan RM3,000.

Katanya, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM700 manakala naib juara menerima wang tunai RM300, RM200 (ketiga) dan RM100 (keempat).

“Selain itu, 10 hadiah misteri disediakan untuk pasukan yang layak sebagai memberikan semangat kepada pasukan yang menyertai acara itu.

“Semua peserta juga layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Huda berkata, sepanjang acara itu peserta perlu menyelesaikan 10 tugasan yang berkonsep alam semula jadi, uji minda dan aktiviti yang memerlukan kerjasama berpasukan serta keyakinan diri.

“Apa yang penting, inilah waktu terbaik orang ramai yang sukakan kedamaian alam untuk hadir program ini sambil mengisi masa dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Orang ramai boleh mengunjungi Taman Negeri Kenaboi, Jeram Toi, menginap di Jelebu dan banyak lagi produk pelancongan yang menampilkan konsep eko pelancongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:40 PM