LALUAN ke Taman Eko Rimba Jeram Toi yang rosak selepas dilanda banjir dan tanah runtuh. FOTO MOHD AMIN JALIL
LALUAN ke Taman Eko Rimba Jeram Toi yang rosak selepas dilanda banjir dan tanah runtuh. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu dekat sini, menjadi satu-satunya lokasi pelancongan di Negeri Sembilan yang rosak teruk akibat banjir, baru-baru ini.

Selain kejadian tanah runtuh yang menghanyutkan pintu gerbang pusat itu, banyak kerosakan lain dikesan termasuk infrastruktur musnah, manakala keadaan air yang sebelum ini jernih bertukar berlumpur dan berselut.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Muhammad Zahir Mazlan berkata, pusat pelancongan popular itu dijangka mengambil masa untuk dipulihkan kerana kemusnahan dialami teruk agak teruk.

"Antara infrastruktur lain di Jeram Toi yang musnah termasuk sederet gerai makan dan kolam mandi kanak-kanak serta jambatan, manakala laluan di jeram berkenaan juga rosak.

"Setakat ini hanya Jeram Toi yang terjejas teruk manakala lokasi pelancongan lain dalam keadaan baik.

"Jeram Toi di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan nilai kemusnahan di

situ sedang dinilai jabatan berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedikit lega kerana tiada atau inap desa serta kemudahan riadah lain yang terjejas walaupun banjir terbesar dalam tempoh 50 tahun itu melanda empat daerah yang menerima kesan teruk terutama di Jelebu dan Port Dickson.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Zahir berkata LPNS akan meneruskan aktiviti pelancongan sepanjang tahun depan, bagi menarik seramai mungkin pelancong ke negeri

ini.

Menurutnya, pihaknya merancang untuk memperkenalkan acara pelancongan di setiap daerah bagi memberi impak positif kepada ekonomi komuniti setempat seperti peniaga dan penjaja kecil.

"Antara acara itu termasuk Jempol Fest di Jempol dan Karnival Pantai Port Dickson dengan mempunyai pengisian tersendiri.

"Kita juga akan meneruskan aktiviti mengoca di Kuala Pilah yang baru-baru ini berjaya menarik sekitar 20,000 pengunjung.

"Sejak Negeri Sembilan memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) Oktober

lalu, kita sudah menganjurkan 25 acara pelancongan selepas sektor ini menerima kesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 2:47 PM