FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 28 bulan oleh Mahkamah Majistret Jempol di sini, tadi, selepas sengaja melarikan diri daripada perintah pengawasan polis.

Tertuduh, Muhamad Hairul Faizi Muzaren, 25, yang berasal dari Larkin, Johor, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh pada jam 10 malam 11 April lalu didapati tiada di kediamannya di Kampung Simpang Durian di sini.

Tertuduh didakwa menjalani perintah pengawasan polis selama dua tahun bermula Mac lalu sehingga Mac 2023.

Tertuduh dikehendaki berada di rumah dari jam 8 malam hingga 6 pagi namun didapati melanggar syarat dengan berada di luar rumah tempat tinggal tanpa kebenaran Ketua Polis Daerah Jelebu.

Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297).

Berdasarkan fakta kes, pada jam 10 malam 11 April lalu anggota polis dari Balai Polis Simpang Durian datang ke tempat tinggal tertuduh dan mendapati tertuduh tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri.

Bagaimanapun pada 24 Mei lalu tertuduh berjaya ditangkap di Skudai, Johor.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:09 PM