HAMID (kanan) ketika sidang media. FOTO Bernama
HAMID (kanan) ketika sidang media. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Trend sindiket dan penjenayah menggunakan jalan laut atau perairan negara untuk kegiatan haram ketika pandemik Covid-19 masih berterusan malah meningkat ketika peralihan ke fasa endemik sejak awal tahun ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, sejak Januari hingga April 2022, pihaknya merekodkan 340 kes membabitkan aktiviti jenayah maritim.

"Ia merangkumi penyeludupan dadah, ketum, barang kawalan bersubsidi, pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan nelayan asing serta kesalahan-kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"Kes berkenaan turut membabitkan akta tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan atau agensi tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya (ADB 1969), Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1957/63, MSO 1952 serta lain-lain akta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Seminar Penguatkuasaan Maritim Siri 1/2022 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, di sini, hari ini.

Menurutnya, cubaan menceroboh sempadan perairan negara turut dikesan semakin meningkat secara drastik selepas Malaysia membuka sempadan negara sejak 1 April lalu.

Katanya, selain cubaan kemasukan PATI, APMM mengesan pencerobohan nelayan asing yang semakin berani menghampiri pulau di sempadan negara.

"Di pantai timur, aktiviti pencerobohan dan pengumpulan hasil laut oleh nelayan Vietnam semakin berani turun hingga ke Pulau Tioman untuk menangkap ikan.

"Kita percaya kegiatan sindiket ini bersekongkol dengan tekong darat tempatan... kita akan banteras," katanya.

Beliau berkata, jika pencerobohan nelayan asing itu tidak dibanteras, ia akan memberi impak besar kepada pembekalan hasil laut untuk pasaran domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 12:34 PM