Idris (tiga dari kanan)menyampaikan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik kepada Koperasi Masjid Ar Rashidah,Selama,Perak, di Hotel Movenpick, Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto Samadi Ahmad
Idris (tiga dari kanan)menyampaikan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik kepada Koperasi Masjid Ar Rashidah,Selama,Perak, di Hotel Movenpick, Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mewujudkan Majlis Perundingan Koperasi Kariah Masjid bagi melaksanakan inisiatif penubuhan koperasi di masjid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Idris Ahmad berkata, majlis itu akan dianggotai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi berkaitan bagi mewujudkan lebih banyak Koperasi Kariah Masjid (KKM) di negara ini.

Beliau berkata, penubuhan KKM ini penting bagi membentuk dana masjid yang efisyen serta mampu menyokong melahirkan lebih ramai golongan usahawan.

Menurutnya, perbincangan antara JAKIM dan MEDEC juga perlu diadakan secara berkala membabitkan Ahli Lembaga Koperasi (ALK)KKM, MAIN dan Ahli Jawatankuasa Masjid bagi memastikan peranan masing-masing dapat dilaksanakan bagi mewujudkan koperasi yang aktif dan relevan.

Katanya, pengurusan masjid juga perlu memberi sokongan kepada pembangunan KKM melalui penyediaan peluang dan premis perniagaan serta membekalkan perkhidmatan kepada masjid.

"Selain menjadi lambang perpaduan keutuhan Islam dalam menyatupadukan umat, masjid juga berperanan sebagai pusat sehenti yang berupaya menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat setempat," katanya pada sidang media pada majlis penutupan Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan di Hotel Movenpick di sini tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri MEDEC, Datuk Muslimin Yahaya dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:54 PM