ORANG awam masih perlu memakai pelitup muka ditempat awam. FOTO AZIAH AZMEE
ORANG awam masih perlu memakai pelitup muka ditempat awam. FOTO AZIAH AZMEE
Samadi Ahmad


Putrajaya: Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 diwartakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 hari ini dan akan berkuatkuasa 4 Julai ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui kenyataan media hari ini berkata, pewartaan ini bertujuan untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Menurutnya, perintah ini mewajibkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku pihak berkuasa yang dilantik oleh KPDNHEP.

"Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna. Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan."

"Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Menurutnya, bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pewartaan ini adalah inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

"KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran negara akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 10:48 AM