WAN  Junaidi Tuanku Jaafar
WAN Junaidi Tuanku Jaafar
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Jadi atau tidak pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti, perlu menunggu sidang khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 11 April ini.

"Tunggu Isnin ini," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada BH hari ini.

Memetik laporan media semalam, Wan Junaidi berkata Kabinet akan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan seperti dijadualkan pada sidang khas Dewan Rakyat 11 April ini.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan pembentangan RUU Antilompat parti itu nanti.

Dengan keputusan itu, ia bermakna pembentangan RUU akan ditangguhkan buat kali kedua.

Bacaan kali pertama RUU itu dijadual dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini iaitu pada 24 Mac lalu.

Wan Junaidi berkata penangguhan itu dibuat bagi memperkemaskan takrifan 'lompat parti' yang memerlukan kajian dan penelitian lanjut.

Ditanya parti di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang meminta supaya RUU itu disemak semula, Wan Junaidi berkata beliau tidak boleh menjawab soalan itu.

Sementara itu, menurut sumber rapat dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) setakat pengetahuannya hari ini, belum menerima sebarang surat terutamanya membabitkan penangguhan sesi berkenaan dari pihak Parlimen.

"Setakat ini, Parlimen kata surat penangguhan (bentang RUU Antilompat Parti) tidak ada. Maknanya ia tetap akan diteruskan pada Isnin (11 April).

"Yang kami dapat tahu dalam Kabinet semalam, Bersatu memang menolak pembentangan RUU itu.

"Berhubung satu mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad ini....ya, memang betul ada mesyuarat dan majlis berbuka puasa," katanya.

Memetik laporan media semalam, difahamkan Perdana Menteri akan mempengerusikan satu mesyuarat mengenai RUU Antilompat Parti pada Ahad ini dengan semua Ahli Parlimen termasuk senator.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada BH hari ini, mereka dimaklumkan RUU itu perlu melalui beberapa perkara sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Difahamkan ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dibentangkan. Ia juga membabitkan Perlembagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 11:42 AM