FOTO hiasan
FOTO hiasan
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Pakatan Harapan (PH) dimaklumkan bahawa kerajaan akan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat sebelum Aidilfitri, untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke berkata, perkara itu dimaklumkan ketika beliau bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan, PH sedia untuk menyokong RUU dan mengekalkan MoU berkenaan, selagi mana kerajaan mengekalkan janji untuk membawa RUU itu ke Dewan Rakyat.

"Pada 2.30 petang tadi, saya bersama Mohamad dan Saifuddin yang mewakili Presiden PKR, berjumpa Perdana Menteri untuk membincangkan status pembentangan RUU Antilompat Parti, yang sepatutnya dibentang dan dibahaskan hari ini.

"Perdana Menteri memberi komitmen bahawa beliau akan memanggil sidang khas Parlimen pada Ramadan nanti, selewat-lewatnya sebelum Aidilfitri, dan membawa RUU Antilompat Parti ke Dewan Rakyat untuk dibahas dan diluluskan.

"Bagi PH, selagi kerajaan menunaikan janji untuk membawa RUU itu ke Dewan Rakyat, kita akan beri sokongan penuh dan mengekalkan MoU antara PH dengan kerajaan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas kegagalan usul melanjutkan kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat hari ini, Anthony menegaskan ia tiada kaitan dengan MoU itu.

Katanya, MoU itu menggariskan Ahli Parlimen pembangkang hanya akan menyokong atau berkecuali dalam undian bagi usul kerajaan atau RUU, jika ia dirundingi terlebih dahulu dengan pembangkang.

Bagi usul mengenai Sosma itu, katanya, tiada sebarang rundingan dibuat dengan PH, sekali gus Ahli Parlimen pembangkang berhak menolak usul berkenaan, selaras dengan pendirian mereka yang selama ini tidak bersetuju dengan undang-undang terbabit.

"Kegagalan usul yang dibawa kerajaan ini adalah satu perkara luar biasa dan kali pertama dalam sejarah. Namun, ini tidak bermaksud kita melanggari MoU antara PH dengan kerajaan kerana tiada rundingan dibuat antara kerajaan dan PH berhubung usul berkaitan Sosma sebelum ia dibentangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:48 PM