ABANG Johari berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusian 2021 di Kuching. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
ABANG Johari berucap pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusian 2021 di Kuching. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menganggap penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen, semalam, bukanlah masalah besar.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah melaksanakan tugasnya, namun ada beberapa perkara di dalam Artikel 160 mengenai definisi Persekutuan perlu dijelaskan.

Justeru, katanya, beliau berharap pembentangan RUU akan dapat dilaksanakan selepas Kabinet mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara itu daripada Peguam Negara.

"Bagi saya, tiada masalah besar dalam perkara itu (penangguhan pembentangan), ia cuma berkaitan sedikit kekeliruan.

"Beberapa perkara penting perlu diperjelaskan dengan terperinci," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusian 2021 di sini, hari ini.

Isnin lalu, Wan Junaidi dalam satu kenyataan memaklumkan Kabinet akan menetapkan tarikh baharu untuk pembentangan RUU bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Malaysia selaras MA63.

Menurutnya, ia susulan tiada kata sepakat dicapai mengenai cadangan pindaan terhadap beberapa artikel berkaitan Perlembagaan Persekutuan semasa sesi perbincangan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu lalu.

RUU berkenaan sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat semalam diikuti bacaan kali kedua, esok.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pula mengulas isu sama dengan nada berbeza.

"Secara peribadi, saya memang agak kecewa kerana sepatutnya RUU itu dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini.

"Benda ini sebenarnya mudah...mana-mana Menteri yang kurang faham (berhubung definasi Persekutuan) itu, bacalah. Tidak perlulah nak minta Peguam Negara huraikan satu persatu," katanya.

Sambil mengharapkan RUU itu dapat dipinda segera, beliau turut berharap agar penangguhan tidak akan berterusan sehingga usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan selaras dengan MA63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:37 PM