Laporan eksklusif Harian Metro hari ini.
Laporan eksklusif Harian Metro hari ini.
Aizat Sharif

SINDIKET penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan menjadikan bas ekspres sebagai satu modus operandi kegiatan mereka ketika ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ahli sindiket ini tidak lagi membawa migran yang diseludup secara beramai-ramai kerana taktik itu mendedahkan mereka kepada pihak berkuasa.

“Kebelakangan ini sindiket didapati menggunakan bas ekspres membabitkan tiga atau empat PATI pada awal pagi atau bas terakhir lewat malam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar, hari ini.

Mengulas mengenai laporan eksklusif Harian Metro hari ini berkenaan ‘Lorong Tikus Termahal’, beliau memberi jaminan bahawa tiada sebarang aktiviti penyeludupan migran kembali bersarang di sekitar kawasan berbukit di Wang Kelian.

“Tiada sebarang aktiviti penyeludupan migran kembali bertapak di kawasan itu dan seperti kes tangkapan PATI etnik Rohingya warga Myanmar di Napoh, Jitra itu, kita masih menyiasat sama ada mereka yang ditahan ini dibawa oleh sindiket luar atau dalam negara ini.

“Kita percaya sekiranya ia didalangi oleh sindiket luar negara, ada ahli sindiket yang sudah bertahun duduk dalam negara ini dan faham selok belok kawasan sempadan kita menyebabkan pergerakkan membawa masuk PATI ini menjadi mudah kepada mereka.

“Mereka (sindiket) ini pula akan bekerjasama dengan sindiket tempatan bagi melancarkan kegiatan mereka. Soal siasat ke atas PATI yang ditahan dapat membantu kita untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, negara harus menerima hakikat bahawa Malaysia kini sudah menjadi destinasi tumpuan migran atau PATI yang menyebabkan ada sindiket yang cuba mengambil kesempatan untuk membawa PATI ini masuk ke negara ini secara haram menggunakan apa cara sekali pun.

“Malaysia kini adalah satu destinasi yang disukai migran seperti Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Indonesia mahupun Thailand dan bila ada keadaan seperti ini sudah semastinya sindiket penyeludupan migran juga turut mengambil kesempatan.

“Sindiket antarabangsa ini akan bekerjasama dengan sindiket tempatan dengan membawa masuk melalui ‘jalan tikus’ seperti Wang Kelian untuk ke destinasi yang sudah ditetapkan.

“Malah dengan kecanggihan teknologi, mereka mampu berhubung dengan sindiket dari negara asal migran berkenaan untuk ‘memesan’ migran yang dikehendaki masuk ke negara ini.

Laporan eksklusif Harian Metro hari ini mendedahkan bahawa caj RM16,000 bagi seorang migran dikenakan sindiket penyeludupan migran kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutama Bangladesh, Myanmar dan etnik Rohingya yang mahu masuk ke negara ini melalui lorong tikus di kawasan berbukit sekitar Wang Kelian, Perlis.

Malah, dalam intipan wartawan harian Metro yang dilakukan dengan kerjasama Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman, seramai lapan warga Myanmar berusia antara 30-an hingga 40-an termasuk seorang penjaga dalam ‘pintasan’ ditahan di sebuah kilang perabot ditinggalkan di Napoh, Jitra, kelmarin.

Berita berkaitan:

  • Lorong tikus termahal [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:22 PM