EMPAT orang tertuduh, Biau Wong Chumpo, (kiri) Nurul Islam Nurul Boshor (tiga dari kiri), Momotin Dus Mohamad, (empat dari kiri) dan Shahidullah Syahidullah (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kangar setelah selesai pertuduhan bagi kes penyeludupan migran di Wang Kelian. FOTO Eizairi Shamsudin
EMPAT orang tertuduh, Biau Wong Chumpo, (kiri) Nurul Islam Nurul Boshor (tiga dari kiri), Momotin Dus Mohamad, (empat dari kiri) dan Shahidullah Syahidullah (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kangar setelah selesai pertuduhan bagi kes penyeludupan migran di Wang Kelian. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Seorang lelaki warga Bangladesh dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kangar selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan penyeludupan migran di Wang Kelian antara 2014 dan tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Islam, 32, adalah individu pertama yang disabitkan dengan kesalahan berkenaan berikutan penemuan lebih dari 100 kubur dan mayat mangsa kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada tertuduh bagi setiap pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 2 Mei tahun ini.

Sebelum itu, Nurul Islam yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu dan berketayap putih kelihatan menangis teresak-esak di kandang tertuduh ketika menyampaikan mitigasi dalam bahasa Bangladesh.

Menurut jurubahasa mahkamah, tertuduh mengaku bahawa dirinya memang bersalah, namun dalam masa yang sama juga, dia mendakwa terpaksa melakukan perbuatan itu oleh seorang ejen yang akan memukulnya sekiranya dia tidak mahu menurut arahan ejen berkenaan.

Malah tertuduh juga berkata, dia mempunyai isteri dan tiga orang anak di Bangladesh dan berharap dapat pulang semula ke tanah airnya untuk menjaga keluarganya itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Islam didakwa dengan tiga pertuduhan penyeludupan migran iaitu menyeludup seorang lelaki warga Bangladesh, Mohamad Nurbasya, jam 4 petang antara November 2014 hingga Mei tahun lalu.

Manakala, bagi tuduhan kedua pula, Nurul Islam didakwa menyeludup seorang migran warga Bangladesh dikenali sebagai Delwar antara Oktober 2014 hingga April tahun lalu di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma.

Bagi tuduhan ketiga, Nurul Islam didakwa menyeludup seorang lagi lelaki warga Bangladesh bernama Joy jam 4 petang antara November 2014 hingga Mei tahun lalu di Bukit Genting Perah di Wang Kelian.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama juga, tiga lagi lelaki warganegara asing termasuk dua etnik Rohingya dari Myanmar dan seorang warganegara Thailand turut berhadapan pertuduhan penyeludupan migran di Wang Kelian.

Tertuduh, Shahidullah @ Syahidullah, 18, dan Momotin @ Dus Mohamad, 19, kedua-duanya adalah etnik Rohingya dari Myanmar dan seorang warganegara Thailand, Biau Wong Chumpo, 32, dituduh di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar.

Shahidullah @ Syahidullah dan Momotin @ Dus Mohamad didakwa menyeludup seorang migran warga Myanmar bernama Mohd Belai di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada jam 5.30 pagi antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015.

Tertuduh warga Thailand, Biau Wong Chumpo didakwa menyeludup migran warga Bangladesh, Md Tifajir Husin, pada jam 1.30 pagi antara Oktober 2014 dan 2 Mei tahun lalu di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma di Wang Kelian.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Afzainizam Abdul Aziz dan Nadia Zulkefli.

Abu Bakar juga menetapkan tarikh sebutan semula pada 1 Julai untuk membolehkan ketiga-tiga tertuduh untuk melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 3:42 PM