Aizat Sharif


Padang Besar: Kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di sempadan Malaysia - Thailand, di sini menerusi aktiviti Geng Along Lubuk akhirnya terbongkar selepas polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk perancang utama yang juga seorang tukang urut di Wang Kelian, di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Bahagian Siasatan Jenayah dan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar serta Balai Polis Kaki Bukit, di sini bertindak menyerbu sebuah kawasan semak berhampiran Viewpoint Wang Kelian.

"Risikan kita berjaya menahan sembilan individu termasuk enam wanita dipercayai warga asing berusia 30 hingga 46 tahun di kawasan berkenaan.

"Ketika diserbu, mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Padang Besar untuk siasatan selanjutnya.

"Semakan mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan dalam kumpulan itu," katanya katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPD Padang Besar, di sini hari ini.

Mohd Shokri  menunjukkan kereta Honda Civic FD yang digunakan suspek sebagai transit untuk membawa Pati ke destinasi yang dikehendaki sindiket selepas tertumpasnya dua sindiket pemerdagangan manusia di sekitar Padang Besar pada 21 dan 23 Julai lalu. FOTO AIZAT SHARIF
Mohd Shokri menunjukkan kereta Honda Civic FD yang digunakan suspek sebagai transit untuk membawa Pati ke destinasi yang dikehendaki sindiket selepas tertumpasnya dua sindiket pemerdagangan manusia di sekitar Padang Besar pada 21 dan 23 Julai lalu. FOTO AIZAT SHARIF

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 45 tahun bekerja sebagai buruh dan sudah berkahwin itu berperanan sebagai penunjuk arah yang akan meninjau atau 'recce' pergerakan pihak berkuasa dalam usaha mengelakkan pati yang dibawanya dikesan dan ditangkap.

"Suspek dipercayai dibayar geng sindiket berkenaan sebanyak RM50 bagi setiap Pati yang dibawa masuk ke negara ini dan suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dengan dua daripadanya membabitkan jenayah narkotik.

"Hasil soal siasat dengan suspek membawa kepada penangkapan dua lagi lelaki yang juga ahli geng berkenaan termasuk perancang atau 'mastermind' sindiket itu di sebuah rumah inap desa di Padang Besar pada jam 1 tengah malam semalam.

"Suspek kedua yang juga 'mastermind' dalam sindiket ini berusia 39 tahun bekerja sebagai tukang urut, sudah berkahwin dan mempunyai enam anak dan dia difahamkan mempunyai hubungan dengan sindiket kegiatan ini di negara jiran yang mana lelaki ini sebelum ini turut menjalankan kegiatan penyeludupan ketum.

"Namun disebabkan harga ketum di negara ini menurun, dia kemudian beralih kepada penyeludupan migran pula manakala suspek ketiga adalah berusia 37 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata selain bekerja kecil-kecilan di kampung," katanya.

Beliau berkata, suspek ketiga mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan dia berperanan sebagai 'transporter' yang akan mengangkut Pati yang diseludup ke lokasi lain dengan bayaran RM100 bagi setiap Pati yang dibawa.

"Bagi pati yang ditahan pula, mereka dikenakan bayaran sebanyak RM12,000 setiap orang oleh sindiket untuk diseludup masuk ke negara ini bagi tujuan pekerjaan sebagai buruh.

"Kita percaya sindiket ini sudah aktif selama dua bulan dan suspek Geng Along Lubuk ini kini ditahan selama 28 hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala Pati yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/53," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 3:47 PM