Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu-Lintas), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam yang baharu.

Mohd Iqbal, 41, menggantikan Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bermula bulan ini.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini dan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Mohd Iqbal dalam ucapannya memaklumkan, Selangor bukan asing baginya kerana beliau pernah bertugas hampir sembilan tahun di negeri ini iaitu di beberapa daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

"Bagaimanapun, selari peredaran masa, sudah pasti trend jenayah juga berubah dan besar harapan semua pegawai serta anggota IPD ini bekerjasama dengan saya agar urusan pentadbiran berjalan lancar.

KETUA Polis Daerah Shah Alam baharu, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di IPD Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
KETUA Polis Daerah Shah Alam baharu, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di IPD Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

"Saya juga memohon tunjuk ajar dan bimbingan daripada Ketua-Ketua Jabatan dan rakan-rakan KPD yang lain sepanjang saya menggalas jawatan ini," katanya.

Sementara itu, Baharudin mengakui tugas di IPD Shah Alam amat mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi.

"Namun, Alhamdulillah semuanya dapat ditangani berkat tunjuk ajar yang diberikan Datuk Arjunaidi yang berpengalaman luas serta tidak lokek berkongsi (pengalaman).

"Kejayaan juga hasil kerjasama dan sokongan kuat dari semua pegawai dan anggota polis IPD ini termasuk ketika kejadian bencana banjir di Taman Sri Muda sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 12:05 PM