Ruwaida Md Zain

Klang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sudah membuka sebanyak 494 kertas siasatan sepanjang Ops Dadu dilaksanakan sejak awal tahun hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dari jumlah itu sebanyak 478 kertas siasatan atau 96.76 peratus berjaya dituduh di mahkamah.

Katanya, pencapaian itu sekali gus melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 85 peratus.

"Secara keseluruhannya, pencapaian pertuduhan Ops Dadu bagi IPD Klang Selatan adalah tertinggi di Kontinjen Selangor," katanya ketika berucap di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Klang Selatan antara Senior Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dengan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong di IPD Klang Selatan di sini hari ini.

ARJUNAIDI (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa Bekas Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Klang Selatan baharu, Asisten Kominisioner Cha Hoong Fong pada Majlis Serah Terima Tugas di IPD Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
ARJUNAIDI (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa Bekas Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Klang Selatan baharu, Asisten Kominisioner Cha Hoong Fong pada Majlis Serah Terima Tugas di IPD Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar

Arjunaidi berkata, pencapaian itu antara kejayaan IPD Klang Selatan sepanjang diterajui oleh Shamsul Amar yang akan menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Kewangan / Perolehan / Kepolisan Am), Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Katanya, beberapa kes lain menarik perhatian umum di daerah Klang Selatan adalah berhubung penemuan patung berhala yang diletakkan di hadapan pintu masuk sebuah surau.

"Polis berjaya menangkap seorang suspek dan dituduh mengikut Seksyen 295 dan 379 Kanun Keseksaan. Tindakan pantas IPD Klang Selatan ini berjaya mengawal, dari tercetusnya sebarang insiden perkauman dan agama.

"Beliau dan pasukan juga berjaya menyelesaikan kes tular membabitkan pengawal peribadi yang dipukul oleh majikannya kerana berpuasa di mana IPD Klang Selatan telah berjaya memberkas kesemua suspek dan dituduh di mahkamah.

"Bagi pihak Kontinjen Selangor, saya merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas khidmat beliau sepanjang menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Klang Selatan," katanya.

Pada masa sama, Arjunaidi mengalu-alukan Ketua Polis Daerah Klang Selatan yang baharu dan berharap Hoong Fong mampu menggalas tugas yang diamanahkan dengan penuh komited dan iltizam tinggi demi mencapai misi dan visi pasukan.

Hoong Fong, 46, berasal dari Kampar Perak berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 20 tahun lalu dan mempunyai latar belakang pendidikan Sarjana Emergency Response and Planning dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sebelum ini bertugas di Bukit Aman (Hubungan Antarabangsa, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 2016 hingga 2021).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 4:26 PM