ABDULLAH Mat Piah (tengah) menyaksikan pertukaran serah terima tugas antara Nik Aminuddin (kiri) dan Samsulmuddin (kanan) dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep Daerah Bachok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
ABDULLAH Mat Piah (tengah) menyaksikan pertukaran serah terima tugas antara Nik Aminuddin (kiri) dan Samsulmuddin (kanan) dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep Daerah Bachok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


KETUA Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Bachok berkuat kuasa, hari ini.

Pelantikan itu berikutan KPD Bachok sebelum ini Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah dinaikkan pangkat kepada Superintendan dan akan bertugas sebagai KPD Pasir Mas.

Samsulmuddin berkata, pelantikan itu menjadi satu cabaran buat beliau apabila menggalas tanggungjawab lebih besar.

“Saya amat mengharapkan kerjasama baik diberikan kepada semua kakitangan IPD Bachok bagi menjalankan tugas dengan lebih baik.

“Pengalaman bersama empat ketua polis daerah di Pasir Mas sepanjang 11 tahun akan dijadikan panduan untuk mengendalikan tugas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Daerah Bachok di IPD Bachok, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah.

Turut diadakan upacara serah terima tugas Pengerusi PERKEP IPD Bachok daripada Tengku Maslina Tengku Mansor kepada Mahani Mad Sidek dengan disaksikan Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Kelantan, Khadziman Jusoh.

Sementara itu, Nik Aminuddin berkata, beliau berterima kasih kepada semua anggota dan pegawai yang memberi kerjasama baik sepanjang tiga tahun enam bulan bertugas di IPD Bachok.

Katanya, kejayaan yang dikecapi adalah mampu melaksanakan kawalan keselamatan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018.

“Selain itu, kejayaan lain ialah menurunkan kadar kes jenayah di daerah ini kepada 242 kes sahaja iaitu penurunan 5.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Saya percaya dengan kredibiliti Shamsulmuddin yang pakar dari aspek jenayah, perundangan dan pendakwaan mampu menurunkan lagi kadar jenayah di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:26 PM