ANTARA yang hadir menyaksikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). FOTO Ashraf Hamzah
ANTARA yang hadir menyaksikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). FOTO Ashraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Penganjuran Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 menjadi penanda aras untuk menganjurkan pameran berskala besar dan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, DSA dan NATSEC Asia adalah pameran berskala besar yang pertama kali diadakan selepas pandemik Covid-19.

"Sebagai antara lima pameran terbaik yang diiktiraf dunia berkaitan keselamatan pertahanan, kami amat bimbang untuk menganjurkan pameran ini dengan jayanya sebelum ini.

"Sepanjang tempoh empat hari pameran ini berlangsung, ia berjalan dengan lancar dengan sokongan pelbagai pihak termasuk dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut sama dalam penganjuran ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan DSA 2022 dan NATSEC 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin.

Hishammuddin berkata, meskipun pameran itu tidak dibuka kepada orang ramai, ia berjaya meraih seramai 33,147 pengunjung dari 85 negara sepanjang berlangsung bermula Isnin lalu hingga semalam.

"Malah, ia turut membabitkan 305 delegasi kenamaan serta penyertaan lebih 1,000 syarikat dan kira-kira 20 pavilion antarabangsa.

"Apa yang lebih penting daripada menunjukkan peralatan dan berdepan dengan beberapa isu dari segi partisipasi daripada pavillion tertentu adalah perbincangan dijalankan secara bersemuka.

"Malah, kita kini dalam persediaan untuk penganjuran DSA dan NATSEC Asia seterusnya yang bakal berlangsung pada 6 hingga 9 Mei 2024.

Mengulas mengenai penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada tahun depan, beliau berkata, pihaknya yakin mampu menjayakan pameran itu seperti mana DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022.

"Penganjuran LIMA nanti banyak bergantung kepada kejayaan kita di DSA dan NATSEC Asia dan jelas dalam tempoh empat hari ini, semua pihak membantu untuk meyakinkan Menteri Pertahanan bahawa kita berjaya dalam pameran ini.

"Ia sekali gus menjadi asas kukuh yang cukup baik untuk kita mengadakan dan menjayakan penganjuran LIMA pada tahun depan. Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Jonathan berkata, pihaknya sedang membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan Identiti Digital Nasional (IDN) yang akan menggunakan teknologi bagi menambah baik proses pemerolehan kewarganegaraan bagi pemohon layak.

"Ini adalah contoh bahawa pameran seperti DSA dan NATSEC Asia boleh dijadikan platform peserta untuk berhubung dan berbincang mengenai pelbagai masalah yang bukan hanya membabitkan Malaysia tetapi seluruh dunia.

"Kejayaan utama pameran berkenaan bukan bergantung kepada organisasi, pembangunan dan program, malah ia juga tertumpu kepada sambutan penyertaan individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 4:09 PM