Mohd Roji Kawi


Kuching: Sektor pelancongan Sarawak dijangka bernafas semula dengan pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) serta pengiktirafan untuk menggunakan MySejahtera dan BruHealth yang diputuskan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brunei.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana rakyat Brunei adalah pengunjung tertinggi yang memasuki Sarawak sebelum Covid-19 melanda dunia.

Justeru katanya, persetujuan yang dicapai di peringkat dasar hasil pertemuan empat mata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah itu cukup menggembirakan khususnya bagi semua yang terbabit dalam industri pelancongan.

"Walaupun belum menerima butiran lengkap berhubung persetujuan itu, saya amat gembira kerana ia akan merancakkan semula industri pelancongan kita.

Foto hiasan
Foto hiasan

"Sebelum Covid-19 melanda, kemasukan pelancong asing ke Sarawak yang direkodkan adalah dari Brunei," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Abdul Karim berkata, selepas persetujuan dicapai dengan Brunei, beliau berharap keputusan serupa disepakati dengan dua lagi negara jiran.

"Pertamanya kita berharap Kerajaan Persekutuan mengatur VTL dengan Singapura sebab rakyat negara itu juga antara pengunjung utama ke Sarawak.

"Selepas itu, kita berharap rundingan harus dilebarkan ke Indonesia pula," katanya.

Menurutnya, walaupun urusan berkaitan VTL itu tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak turut terbabit mengemukakan cadangan jika destinasi itu membabitkan negeri ini.

"Misalnya rundingan VTL dengan Singapura, kita juga turut menyediakan apa keperluan yang kita mahukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 6:15 PM