Rudy (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad. Foto Ihsan Takaful Ikhlas
Rudy (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad. Foto Ihsan Takaful Ikhlas
BERNAMA

Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad dengan kerjasama Majlis Orang-Orang Besar Diraja Kelantan baru-baru ini melaksanakan program penyerahan bantuan Ramadan kepada asnaf terpilih di Kelantan.

Melalui program tersebut, Takaful Ikhlas menyumbang sebanyak RM40,000 daripada zakat wakalah syarikat untuk diedarkan kepada 150 keluarga miskin di 10 jajahan di Kelantan bagi membantu mereka membuat persediaan menjalani ibadah puasa.

Sumbangan merangkumi barang keperluan asas bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200 seorang. Kriteria penerima adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

"Kami di Takaful Ikhlas sentiasa prihatin dan empati pada golongan yang kurang berkemampuan. Kami berharap semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga yang terlibat dan menerbitkan senyuman di wajah mereka," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Datuk Rudy Rodzila Che Lamin dalam satu kenyataan.

Menurutnya, program penyerahan bantuan Ramadan tersebut merupakan antara aktiviti di bawah Ikhlas Barakah House iaitu inisiatif pengumpulan dana patuh syariah yang bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti yang merangkumi pembabitan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan juga alam sekitar.

"Takaful Ikhlas menyediakan barang keperluan berbeza bagi setiap jajahan. Pembelian barangan dibuat selepas penyelarasan daripada pihak Puspanita Kelantan agar barang yang dibeli bukan barangan yang sama atas arahan pegawai tadbir daerah.

"Ini bagi memastikan barang yang dibeli menepati keperluan penerima dan sesuai dengan mereka sekali gus sebagai langkah mengelakkan pembaziran," kata Rudy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 5:08 PM