Dr Maklarin Lakim
Dr Maklarin Lakim
BERNAMA

Kota Kinabalu: Jumlah kutipan pendapatan Taman-Taman Sabah (TTS) pada tahun lalu merosot kepada RM11.7 juta berbanding RM14.8 juta pada 2020.

Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim berkata, pengurangan pendapatan itu berikutan penutupan kawasan pelancongan TTS semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jumlah pelawat juga berkurangan iaitu hanya seramai 269,819 orang pada tahun lepas berbanding 403,469 pada tahun sebelumnya," katanya berucap pada majlis penghargaan Lembaga Pemegang Amanah TTS 2021 di sini malam tadi.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Maklarin bagaimanapun berkata, jumlah pelawat pada tahun ini setakat Februari lalu telah menunjukkan peningkatan kepada 113,309 orang berbanding 13,853 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata dengan lebih banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pada fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini, TTS akan meneruskan beberapa program yang telah dirancang termasuk projek-projek di bawah Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dan pelaksanan progres ke arah merealisasikan kejayaan Pelan Strategik Taman-Taman Sabah 2025.

Pada majlis itu, seramai 27 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Apresiasi Lembaga (sembilan), Anugerah Khas Pengarah (dua), Anugerah Khidmat Setia tahun (seorang), pesara (10) dan tiga kakitangan yang telah meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:30 PM